Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam,
Musim cuti sekolah kembali lagi. Pelbagai rancangan diatur oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka.Penulisan blog sy pun agak perlahan atas sebab-sebab tertentu.Tapi apapun, sy tetap akan memasukkan input baru untuk kita sama-sama hayati.Kali ini mengenai kerja buat kita yang dikira sebagai ibadah. Hari ini kalau kita lihat di bandar-bandar besar,ramai manusia yang berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sehingga mengabaikan tuntutan agama. Bekerja adalah salah satu tuntutan agama,sekali gus menjadi ibadah jika tidak melanggar syariat Allah. Organisasi dan pekerja Muslim seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi kerjanya. Untuk melahirkan prestasi kerja yang berkualiti,perlulah mewujudkan satu budaya yang positif yang selalu menggalakkan ke arah penambahbaikan dan berterusan kepada semua lapisan pekerja daripada peringkat atasan hingga bawahan.
Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu menghubungkan usaha dan pekerjaan sebagai tuntutan keagamaan.Bagi yang ingin menghayati Islam,mereka seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerja dari semasa ke semasa. Rasulullah pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan kerja ,maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaiknya".(Riwayat Al-Baihaqi)
Kerja buat kita perlu dimulakan dengan niat kerana Allah dan dimulakan dengan nama Allah. Apabila kerja yang dilakukan dengan keberkatan Allah,maka kualitinya amat baik. Kerja buat kita juga perlulah berlandaskan Islam dan tidak melanggar syariat Islam seperti menutup aurat dan jujur memegang amanah.Sekadar perkongsian semasa cuti.Input seterusnya InsyaAllah akan datang.Wassalam.