Tuesday, August 23, 2011

Raya dah dekat..jom hayati talkin..


Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Lama benar rasanya blog ini tidak di imarahkan dengan peringatan dan perkongsian ilmu. Tatkala diri ini sibuk dengan praktikum, hari ini sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri,sy ingin mengajak kalian untuk menghayati talkin yang selalu dibaca pada sesuatu kematian.Kebiasaannya pada pagi Syawal, ramai dalam kalangan umat Islam akan menziarahi kubur ahli keluarga atau sanak saudara.Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W iaitu sebaik-baik peringatan ialah mengingati mati.Jadi terjemahan talkin di bawah perlu kita hayati dengan meletakkan nama kita sebagai si mati.Ia sangat relevan kerana mati itu sentiasa hampir dengan kita.Semoga dengan peringatan ini kita dapat membaiki amalan kita untuk mengadap Ilahi dan bukannya terlalu riang nak sambut raya..

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang
berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang
menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang
kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin
IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada
bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu
hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka

menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama- sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan- soalan mereka dengan cermat
dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar,
janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammad dur rasulullah".
Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang
paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam
Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula
untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar,
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan
jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah
Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan
kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak
disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.
Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut"
Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar
berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-A'sr

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah
pesanku walaupunpun satu ayat..."