Monday, September 19, 2011

Bahaya Takabbur ???



Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Susahnya nak update blog. Kadang-kadang buntu idea dan kadang-kadang ada idea tapi tiada masa. Insya Allah, kali ini saya ingin berkongsi mengenai bahaya takabbur. Jangan merasa kita ini hebat dan lebih hebat daripada orang lain.Usah terpedaya dengan anugerah dan nikmat yang diberikan kepada kita. Semua nikmat iatu akan dipersoalkan kelak di padang Mahsyar. Kehebatan kita bercakap dan berhujah bukan untuk berdebat dengan para ilmuan.Tunduklah dan rendahkan diri sesama muslim kerana kita semua bersaudara.Ilmu yang tinggi juga bukan tandanya kita mulia kerana ukuran kita hanya berdasarkan Taqwa.Sejauh mana ilmu itu benar-benar menjadikan jiwa kita takut kepada Allah SWT. Hiasi ilmu dengan akhlak barulah ia mewangi semerbak haruman bunga di taman.Takabbur ada tanda-tandanya seperti penyakit lain yang ada simptomnya.Elok rawat segera jika ada pada diri kita.

1. Memandang kecil usaha atau kemampuan orang lain.Orang yang takabbur hanya menganggap dirinya atau kumpulannya sahaja yang hebat dan betul.Orang lain semua salah. Langsung tidak boleh menerima hasil sumbangan pihak lain.Padanya orang lain dianggap mengancam kedudukan dan pengaruhnya.

2. Sibuk mencari kesalahan orang lain sehingga lupa kekurangan diri. Baginya tujuannya itu adalah murni dan berdiri atas nama kebenaran.Jiwa yang tidak subur dengan iman dan zikir sememangnya akan menjadi begini. Mana mungkin lidah yang basah dengan zikir dan munajat ada masa untuk menyingkap kesalahan saudaranya yang lain.Lupakah kita dengan hadis:

“Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim di dunia, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan Akhirat.”

Hati yang gelisah memikirkan nasibnya di hadapan Allah akan senitiasa membaiki dirinya daripada dosa dan maksiat bukannya sentiasa mencari dan menyingkap kesalahan atau kesilapan orang lain. Trend zaman sekarang, kesilapan insan itu akan dijadikan buah mulut. Buah mulut bunyinya macam lembut je namun hakikatnya itu adalah MENGUMPAT. Kalian pasti tahu balasan pada orang yang mengumpat kan. Sikap takabbur ini adalah PEMUSNAH amalan dan ibadah kita kepada Allah. Ingatlah ! Hebatnya anda bukan kerana anda tetapi kerana nikmat dan kurnia daripada Allah. Walau anda ramai pengikut yang beratur di belakang anda seperti gerombolan perang. Walau sebanyak mana tempat yang anda telah pergi di seluruh dunia untuk berdakwah dengan cara tersendiri.Semua itu adalah kurniaan Allah yang akan dihisab.Tiada siapa yang mampu mengelak persoalan di depan Allah meskipun anda mampu mengelak-elak di dunia ini.
Nabi Adam AlaihisSalam melakukan kesalahan dengan memakan buah yang dilarang Allah di dalam Syurga lalu bertaubat maka Allah menerima taubatnya.Iblis takabbur dan enggan sujud kepada Adam setelah diperintahkan Allah dan tidak mahu bertaubat. Inilah beza antara melakukan maksiat dan meninggalkan perintah.Bezanya adalah pada sifat takabbur. Segala yang kita miliki hanyalah pinjaman dan kena beri semula kepada ‘Tuan’ nya.Jadi, apa yang kita ada sangat sebenarnya? Fikir-fikirkan dan muhasabahlah diri. Jangan rasa hebat, jangan rasa perfect, jangan rasa power. Segalanya Milik-Mu Ya Allah.Wassalam.

Tuesday, August 23, 2011

Raya dah dekat..jom hayati talkin..


Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Lama benar rasanya blog ini tidak di imarahkan dengan peringatan dan perkongsian ilmu. Tatkala diri ini sibuk dengan praktikum, hari ini sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri,sy ingin mengajak kalian untuk menghayati talkin yang selalu dibaca pada sesuatu kematian.Kebiasaannya pada pagi Syawal, ramai dalam kalangan umat Islam akan menziarahi kubur ahli keluarga atau sanak saudara.Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W iaitu sebaik-baik peringatan ialah mengingati mati.Jadi terjemahan talkin di bawah perlu kita hayati dengan meletakkan nama kita sebagai si mati.Ia sangat relevan kerana mati itu sentiasa hampir dengan kita.Semoga dengan peringatan ini kita dapat membaiki amalan kita untuk mengadap Ilahi dan bukannya terlalu riang nak sambut raya..

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang
berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang
menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang
kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin
IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada
bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu
hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka

menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama- sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan- soalan mereka dengan cermat
dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar,
janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammad dur rasulullah".
Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang
paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam
Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula
untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar,
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan
jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah
Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan
kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak
disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.
Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut"
Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar
berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-A'sr

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah
pesanku walaupunpun satu ayat..."

Tuesday, June 28, 2011

Pesanan kepada wanita....



Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.


Sempena ketibaan tarikh Isra'Mikraj ini,
ayuhlah kita mengambil iktibar dari
pengalaman Rasulullah S.A.W....
Renungan ini khususnya untuk
para wanita dan diri sendiri.....

Sayidina Ali ra menceritakan suatu
ketika melihat Rasulullah menangis
manakala ia datang bersama Fatimah.
Lalu keduanya bertanya mengapa
Rasul menangis.Beliau menjawab,
"Pada malam aku di-Isra'kan, aku
melihat perempuan-perempuan yang
sedang diseksa dengan
berbagai seksaan. Itulah sebabnya mengapa
aku menangis. Kerana,
menyaksikan mereka yang
sangat berat dan mengerikan seksanya.

Puteri Rasulullah kemudian menanyakan
apa yang dilihat ayahandanya.
"Aku lihat ada perempuan digantung
rambutnya, otaknya mendidih.
Aku lihat perempuan digantung lidahnya,
tangannya diikat ke belakang
dan timah cair dituangkan
ke dalam tengkoraknya.
Aku lihat perempuan tergantang
kedua kakinya dengan terikat
tangannya sampai ke ubun-ubunnya,
diulurkan ular dan kala jengking.

Dan aku lihat perempuan yang memakan
badannya sendiri, di bawahnya
dinyalakan api neraka. Serta
aku lihat perempuan yang bermuka hitam,
memakan tali perutnya sendiri.
Aku lihat perempuan yang telinganya
pekak dan matanya buta,
dimasukkan ke dalam peti yang
dibuat dari api neraka, otaknya keluar dari
lubang hidung, badannya berbau busuk
kerana penyakit sopak dan kusta.

Aku lihat perempuan yang badannya
seperti himar, beribu-ribu
kesengsaraan dihadapinya.
Aku lihat perempuan yang
rupanya seperti anjing,
sedangkan api masuk melalui mulut dan keluar
dari duburnya sementara malikat
memukulnya dengan pentung dari api
neraka," kata Nabi.

Fatimah Az-Zahra kemudian
menanyakan mengapa mereka diseksa seperti
itu?
*Rasulullah menjawab,
"Wahai puteriku, adapun mereka
yang tergantung
rambutnya hingga otaknya
mendidih adalah wanita yang tidak menutup
rambutnya sehingga terlihat oleh
laki-laki yang bukan muhrimnya.

*Perempuan yang digantung susunya
adalah isteri yang 'mengotori' tempat tidurnya.

*Perempuan yang tergantung kedua kakinya
ialah perempuan yang tidak
taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa
izin suaminya, dan perempuan
yang tidak mahu mandi junub dari haid dan nifas.

*Perempuan yang memakan badannya sendiri
ialah kerana ia berhias
untuk lelaki yang bukan muhrimnya
dan suka mengumpat orang lain.

*Perempuan yang memotong badannya sendiri
dengan gunting api neraka
karena ia memperkenalkan dirinya kepada
orang lain serta bersolek dan berhias supaya kecantikannya
dilihat lelaki yang bukan muhrimnya.


*Perempuan yang diikat kedua kaki dan
tangannya ke atas ubun-ubunnya
diulurkan ular dan kala jengking padanya
kerana dia boleh solat tapi
tidak melaksanakannya dan tidak mahu mandi
junub.

*Perempuan yang kepalanya seperti babi
dan badannya seperti himar
ialah tukang umpat dan pendusta.
Perempuan yang menyerupai anjing ialah
perempuan yang suka memfitnah dan membenci suami."

Mendengar itu, Sayidina Ali dan
Fatimah Az-Zahra pun turut menangis.
Dan inilah peringatan kepada kaum perempuan.

Semoga kalian beroleh iktibar dari artikel ini.
Ingatlah,segalanya adalah milik Allah....wassalam

Sunday, May 15, 2011

Sedapnya...


Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Sedapnya...sekali tengok nampak sedap dan menyelerakan walaupun agak ringkas... Bila dimakan,nikmati rasanya dan perut kenyang.Apa kaitannya dengan HAri Guru???Kali ini nak berceloteh mengenai guru. Sedap dipandang...Cuba kalian fikirkan dan rasai,bagaimana rasanya jika orang lain memandang anak murid kalian dengan pandangan 'sedap dilihat'.. Rasa bangga dan suka kan? Itulah sy umpamakan naluri seorang guru ingin melihat anak muridnya indah pada pandangan masyarakat dan guru lain.Bagaimana nak bagi murid jadi begitu? Jawapannya, Bagaimana acuan,begitulah bentuknya. Ia bermula dari guru itu sendiri. Sekarang, kalau diperhatikan di "kilang" menghasilkan guru iaitu institut pendidikan guru atau di IPTA seperti UPSI,berapa ramai yang mempunyai akhlak yang selayaknya menjadi contoh kepada murid? Apa yang sy perhatikan, kebanyakkannya layak kerana akademik sahaja.Pointer tinggi menjadi target utama sedangkan akhlak,ilmu adan amal entah ke mana. Hebat dalam peperiksaan, namun solatnya tinggal,pakai pakaian ketat, dan sebagainya.Jadi,kalau nak anak murid 'sedap dilihat', guru juga perlu 'sedap dilihat'.

Kemudian,nikmati rasanya dan perut kenyang. Akhlak yang sedap dilihat datangnya dari dalaman. Nikmati rasanya,apabila anak murid telah berjaya, maka guru dapat merasai kejayaan itu.Namun,guru sering menjadi sasaran untuk dipersalahkan jika anak murid tidak berjaya. Apabila berjaya,seseorang guru amat merasai nikmatnya anak murid mereka berjaya,namun ramai anak murid yang berjaya juga melupakan guru mereka. Kejayaan murid itu membuatkan guru puas hati dan itulah yang sy maksudkan sebagai perut kenyang.Walau apa pun tanggapan dan perumpamaan yang kalian bicarakan, guru tetap guru. Jasa dan bakti guru tiada ternilai. Hari Guru adalah hari mengenang jasa guru.Sejauh mana jasaguru dikenang? tepuk dada tanya iman. Sekadar celoteh sempena hari guru.Gambar di atas sebagai Pencetus entry ini. Kredit to Uyen dan Cikza. Segalanya adalah hak Allah. Segalanya Milik-Mu Ya Allah..wassalam...


Tuesday, May 3, 2011

Hari Ibu....apakah lafaz yang tersimpan....?


Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Sempena Hari Ibu..sedikit coretan dari sy...Ucapan "Selamat Hari Ibu" mungkin biasa diungkapkan kepada insan yang bergelar ibu.Pada Hari Raya Aidilfitri pula,tangan dihulur,ampun maaf dipinta...Namun,berapa ramai yang mampu menyusun bicara untuk meluahkan rasa menuturkan sayang dan cinta kepada ibu? Sedarlah, tiada lagi ertinya pengucapan itu andai nafas ibu di hujung helaan...sekadar perkongsian dari seorang anak untuk dikongsi dan direnung bersama...Sebelum mata ibu rapat terpejam,usah biar kehilangan menggantikan lafaz yang tersimpan...Tanpa ibu siapalah kita..Ibu,saya dan anda...adalah milik Allah..Segalanya Milik-Mu Ya Allah...wassalam...



Lafaz Yang Tersimpan
oleh : UNIC

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

Friday, April 15, 2011

12 BARISAN DI AKHIRAT



12 BARISAN DI AKHIRAT

Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah an-Naba':18 Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

BARISAN PERTAMA

Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA

Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT

Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA

Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM

Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH

Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN

Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEMBILAN

Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH

Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEBELAS

Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya.....Segalanya Milik-Mu Ya Allah...Wallahua'alam.

Saturday, April 2, 2011

Indahnya selawat...



Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.

Sekadar perkongsian..betapa indahnya berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W...cuba ambil masa untuk berselawat...cuba duduk sendirian dengan keadaan yang sunyi,pejam mata dan berselawat ...renung betapa susahnya Baginda nak sampaikan Islam yang diutus oleh Allah S.W.T...di bawah ni sy ingin kita sama-sama kongsi kelebihan berselawat...

1. Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)
2. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.
3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.
4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.
7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.
8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.
9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.
10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.
12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.
14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.
15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.
20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.
24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.
25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.
26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.
27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.
28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.
29. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.
30. Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani .

Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.Segalanya milik-Mu Ya Allah...